Betulkan Persepsi Terhadap Penagihan Dadah
Penagihan dadah bukan satu masalah baru. Usaha
untuk mengatasinya telah dijalankan sejak lebih 20 tahun lalu. Walau pelbagai
cara dilakukan namun, masalah ini masih membelenggu kitaran hidup masyarakat di
negara kita. Ibarat 'duri dalam daging', masalah penagihan dadah ini sentiasa
menimbulkan polemik dan keresahan di kalangan masyarakat mahu pun penggubal
polisi negara.
Dalam usaha mengatasi masalah ini, kos yang
terlibat bukanlah sedikit. Beberapa minggu yang lepas, di Dewan Rakyat,
Setiausaha Parlimen Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman
Yusop berkata, RM1 bilion dibelanjakan dalam tempoh 20 tahun bagi kos rawatan
pemulihan lebih 10,000 penagih dadah di 28 pusat serenti seluruh negara. Kos
itu, katanya, meliputi perbelanjaan pengurusan dan pembangunan bagi 28 pusat
serenti. Sebaliknya, dengan nilai sebegitu tinggi, dikatakan bahawa beberapa
buah universiti boleh dibina.
Selain kos berbentuk wang ringgit, terdapat juga
kos dari segi masa dan tenaga. Bukan sedikit masa dan tenaga dikeluarkan untuk
mengatasi masalah penagihan dadah di Malaysia . Walau pun dengan penglibatan
modal yang sebegini besar, masalah ini masih terus menjadi isu nombor satu
negara. Malahan, peningkatan jumlah penagih dari tahun ke tahun telah
menimbulkan persepsi bahawa negara ini telah gagal menguruskan masalah
penagihan dadah tersebut.
Seiring dengan itu wujud pula pandangan bahawa
masalah penagihan dadah ini tidak boleh diatasi lagi. Pun begitu, pandangan ini
ternyata tidak tepat. Berdasarkan kajian selama lebih 20 tahun oleh Institut
Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NIDA) di Amerika Syarikat, menunjukkan masalah
ini ada jalan penyelesaiannya. Malahan di negara tersebut, statistik
menunjukkan bahawa lebih 70 peratus penagih dapat dipulihkan sepenuhnya. Oleh
itu, pendapat dengkel tadi adalah tidak tepat dan perlu diubah.
Ramai di antara kita yang bersetuju bahawa terdapat
banyak faktor-faktor peningkatan masalah penagihan dadah di Malaysia . Salah
satu faktor penting adalah berkait dengan tekanan yang wujud dalam masyarakat.
Masyarakat meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan muda (anak kecil,
remaja dan belia) untuk menjadi seorang yang berguna dan menaburkan khidmat
bakti kepada negara. Atas sebab ini, pelbagai kekangan berbentuk peraturan,
nilai-nilai dan arahan diletakkan di bahu anak-anak muda ini. Manakala, jika
mereka gagal menurut kayu pengukur yang telah ditetapkan, mereka dipandang
rendah dan dihina.
Pandangan, cemuhan dan ejekan sebeginilah yang
mungkin menyebabkan mereka mudah dipengaruhi dadah. Dadah yang mampu memberikan
keseronokan tidak terkira dan tidak mungkin difahami oleh kita semua, menjadi
alat untuk membebaskan diri dari tekanan dan kekangan dalam hidup mereka.
Apabila sudah terjebak, amat sukar pula untuk berpatah balik. Jelas, bahawa
tekanan dan kekangan masyarakat mempunyai peranan dalam peningkatan masalah
penagihan dadah. Walau pun ini bukan satu-satunya faktor penyebab penagihan
dadah, namun hubung-kait faktor ini tidak boleh dipinggirkan.
Sekurang-kurangnya terdapat tiga persepsi yang
salah berkaitan masalah penagihan dadah di Malaysia . Persepsi pertama adalah
tanggapan bahawa golongan penagih tiada harapan sembuh. Atas alasan ini, mereka
tidak perlu dibantu. Malahan ada pula yang lebih ekstrem dan sanggup berkata
'biarlah mereka mati di lorong-lorong gelap itu'. Pendapat sebegini menunjukkan
kecetekan pemikiran sebahagian besar anggota masyarakat kita. Buruk sangka
sebegini sebenarnya tidak tepat sama sekali kerana penagih dadah sebenarnya
boleh disembuhkan. Di Malaysia sendiri, ada penagih yang telah sembuh dan dapat
menjalani kehidupan normal. Malahan, mereka boleh pula menabur bakti kepada
ahli masyarakat.
Selain itu, di Malaysia, penagih selalu disamakan
dengan penjenayah. Oleh itu, masyarakat mengecap mereka sebagai sampah
masyarakat yang perlu dikurung dan dihukum. Namun begitu, di kebanyakan negara
lain, penagih dianggap sebagai pesakit dan bukannya penjenayah. Analogi penyakit
ketagihan yang mereka hadapi adalah seperti penyakit kronik yang lain. Cuma
yang berbeza adalah penagihan dadah merupakan sejenis penyakit kronik yang
boleh disembuhkan. Lagi pun, Agama Islam menegaskan bahawa semua jenis penyakit
boleh disembuhkan. Ini dibuktikan dalam sebuah hadis yang bermaksud "Wahai
para hamba Allah, berubatlah. Sesungguhnya Allah yang menciptakan penyakit juga
telah menciptakan ubatnya" (H. R. Bukhari). Jadi, jika persepsi ini
boleh diterima maka masalah penyisihan dan cemuhan dari anggota masyarakat
boleh diminimakan. Dalam masa yang sama, penagih dadah juga boleh meletakkan
harapan yang tinggi untuk sembuh.
Kesilapan persepsi terhadap penagihan dadah yang
ketiga adalah bilamana anggota masyarakat selalu menganggap bahawa masalah ini
'bukan masalah kita tetapi masalah orang lain'. Hanya kerana tiada ahli
keluarga kita yang menghadapi masalah ini, maka kita mudah merasa selesa dengan
keadaan yang sedia ada. Sedangkan, jika dibiarkan begitu sahaja, masalah ini
boleh menjadi semakin rumit dan kebarangkalian 'menjangkiti' anak-anak kita
serta generasi akan datang adalah sangat tinggi.
Penerangan-penerangan yang diberikan di atas jelas
membuktikan bahawa memang wujud persepsi yang salah terhadap masalah penagihan
dadah di Malaysia . Oleh itu, usaha untuk memperbetulkannya mesti dilakukan.
Jika usaha mengubah persepsi masyarakat terhadap penagihan dadah berjaya, ahli
masyarakat pasti sedia membantu menangani masalah ini dan seterusnya menerima
kembali bekas penagih yang telah sembuh.
Bukan itu sahaja, bantuan sama ada berbentuk
fizikal mahu pun sokongan emosi boleh dihulurkan. Dari segi fizikal misalnya,
bantuan wang ringgit, peluang pekerjaan, ilmu pengetahuan, kemahiran dan
sebagainya boleh diberikan. Manakala, sokongan emosi pula meliputi tiupan
semangat, kasih-sayang, teguran dan nasihat yang memang sangat diperlukan oleh
golongan bekas penagih ini. Malahan, sokongan emosi ini dianggap lebih penting
dan akan menentukan kejayaan golongan tersebut membina semula kehidupan mereka.
Dalam masa yang sama, semua anggota masyarakat
mesti sentiasa peka dengan situasi di sekeliling mereka. Kegiatan penagihan
dadah di kawasan setempat perlulah dilaporkan kepada pihak berkuasa dengan
segera. Atau pun, jika melihat anak-anak jiran yang cuba mendekati najis dadah
ini maka segeralah melaporkan perkara tersebut kepada ibu bapa mereka agar
bantuan boleh dihulurkan. Pendek kata, masyarakat boleh menyumbang dengan
pelbagai cara untuk menangani masalah penagihan dadah ini.
Mengubah persepsi masyarakat tentang masalah
penagihan dadah ini sangat penting jika kita ingin memastikan setiap anggota
masyarakat sedia dan rela melibatkan diri dalam usaha pencegahan dan pemulihan
dadah. Dalam masa yang sama, usaha pembasmian secara bersepadu perlulah
digerakkan demi mencapai matlamat negara Malaysia bebas dadah menjelang tahun
2015. Di samping itu, hasrat kerajaan untuk menilai semula program-program
pemulihan sedia ada amat dialu-alukan.
Para penagih yang telah sembuh juga mempunyai tugas
yang berat untuk membina kepercayaan ahli masyarakat terhadap mereka. Keyakinan
ini boleh dibina misalnya dengan penglibatan aktif dalam kerja-kerja membasmi
penagihan dadah, mendekatkan dan melibatkan diri dengan kegiatan kemasyarakatan
serta berusaha membina kejayaan diri dengan bersungguh-sungguh.
Tugas untuk mengubah nasib ke arah yang lebih baik
perlu dilakukan dengan tekun. Tugas ini bukan mudah. Banyak halangan akan
ditempuhi. Namun, bekas penagih perlu yakin bahawa usaha mereka akan berhasil
kerana tiada siapa yang akan mengubah nasib mereka melainkan diri mereka
sendiri. Oleh itu, renung-renunglah ayat 11 dari Surah Ar-Ra'd yang bermaksud "Bagi
tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan
dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan
perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu
kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan
apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala' bencana
(disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak
atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat
menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."
No comments:
Post a Comment