Pengaruh
Teknologi Maklumat Ke Atas Kehidupan Di Bandar
oleh
Ho
Lip Wah
Pengenalan
Teknologi
maklumat boleh ditakrifkan sebagai sebarang kaedah yang digunakan untuk
memindah, menyebar dan memapar maklumat. Maklumat tersebut boleh wujud dalam
pelbagai bentuk samada bentuk fizikal contohnya kertas dan buku, bentuk suara,
paparan visual, pergerakan atau dalam bit. Perkembangan teknologi maklumat
telah mencapai suatu tahap di mana ia mula menampakkan pengaruh tertentu di
dalam kehidupan manusia terutamanya penduduk bandar. Pada asalnya, teknologi
ini wujud sebagai satu perantaraan untuk mengedarkan pelbagai jenis maklumat
untuk tujuan yang berlainan. Contohnya bagi pengiklanan, pemberitahuan,
telekomunikasi dan sebagainya.
Peranannya
sebagai agen perubahan tidak pernah berkurang tetapi semakin bertambah
lebih-lebih lagi dengan kewujudan komputer. Dewasa ini, ia telah berevolusi
kepada bentuk yang menampakkan pengaruh yang lebih mendalam ke atas kehidupan
manusia. Contohnya penggunaan rangkaian ‘internet’ telah dan berupaya
menyebabkan perubahan yang besar ke atas aspek fizikal, ekonomi dan sosial
melalui globalisasi serta berkembangnya modal antarabangsa kapitalis. Teknologi
maklumat akan membezakan sebuah negara maju dengan sebuah negara sedang
membangun(Arun, 1999).
Aspek fizikal
yang dimaksudkan di atas termasuklah corak penggunaan ruang bandar, rangkaian
lalulintas dan pengangkutan, ruang ‘virtual’ dan sebagainya. Di samping itu,
aspek sosial pula meliputi cara dan corak berinteraksi, pergerakan manusia,
aktiviti manusia, cara hidup manusia, kualiti hidup manusia, taraf kesihatan
manusia dan lain-lain. Selain itu, rangkaian ‘internet’ juga membolehkan
pelbagai urusan perniagaan dijalankan secara ‘digital’ dan ini mempunyai
implikasi yang besar terhadap proses pembandaran pada masa akan datang.
Salah satu
kesan yang ketara adalah pergantungan kepada bekalan elektrik. Ini adalah
kerana tanpanya segala peralatan teknologi maklumat tidak dapat berfungsi,
kecuali jenis yang menggunakan tenaga alternatif misalnya tenaga solar, angin,
ombak, biojisim dan sebagainya. Namun pergantungan yang lebih membimbangkan
adalah dari segi kuasa ekonomi melalui pemindahan modal antarabangsa dalam
jumlah yang besar. Ini seterusnya akan mempengaruhi corak gunatanah sesebuah
bandar.
Gunatanah
kawasan bandar dipercayai akan mengalami perubahan yang ketara. Misalnya lebih
banyak kawasan hijau dapat dikekalkan atau dibekalkan berbanding dengan tempat
letak kereta. Maknanya isipadu perjalanan boleh digantikan dengan aliran
elektrik atau cahaya. Ini dapat mengurangkan tahap pencemaran bandar. Namun
begitu, secara sosial manusia masih perlu menjalankan aktiviti tertentu yang
tidak mungkin dapat digantikan oleh teknologi maklumat misalnya makan, rehat,
berekreasi, bersukan dan sebagainya. Perubahannya cumalah dari segi cara
aktiviti tersebut dijalankan dan apakah batasan serta halangan yang wujud
akibat gelombang maklumat yang mempengaruhinya.
Justeru itu,
memandangkan terdapat pelbagai perubahan besar yang akan berlaku hasil
perkembangan teknologi maklumat maka kertas kerja ini akan cuba membincangkan
perubahan semasa serta isu utama yang berkaitan dengannya.
Rangka
Kerja Teoritikal
![]() |
Teori Klasik
Lepas-Industri(Classical Theory Of Postindustrialism)
|
Teori ini
mengabungkan tiga pernyataan :
- Sumber produktiviti dan pertumbuhan bergantung kepada pengwujudan pengetahuan yang dilanjutkan kepada aktiviti ekonomi melalui pemprosesan maklumat.
- Aktiviti ekonomi akan berganjak daripada pengeluaran barangan kepada pembekalan perkhidmatan. Pelumpuhan pekerjaan pertanian akan diikuti oleh pengurangan dalam pekerjaan pembuatan dan ini akan menjadikan pekerjaan perkhidmatan lebih penting. Lebih maju sesebuah ekonomi, lebih banyak pekerjaan dan pengeluarannya akan menumpu kepada perkhidmatan.
- Ekonomi baru akan meningkatkan kepentingan pekerjaan yang melibatkan pengetahuan dan maklumat yang tinggi. Bidang pengurusan, profesional dan pekerjaan teknikal akan bertumbuh dengan lebih cepat berbanding dengan pekerjaan lain dan ia akan menjadi pekerjaan utama dalam struktur sosial yang baru.
Teori ini
menumpukan perbezaan di antara dua bentuk industri berasaskan pengetahuan, pertanian
dan pengeluaran perkhidmatan. Isunya, masyarakat akan berpengetahuan, bukan
kerana mereka sesuai dalam satu model struktur masyarakat, tetapi kerana mereka
menyusun sistem pengeluaran mereka berpandukan prinsip memaksimakan pengeluaran
berasaskan pengetahuan, melalui pembangunan dan penggunaan teknologi maklumat.
Selain itu,
teori ini juga mengutarakan anjakan kepada industri perkhidmatan dan
pengurangan dalam pembuatan. Namun ini dikritik sebagai andaian yang terlalu
ringkas tanpa melihat hubungan di antara pembuatan dan perkhidmatan. Justeru
itu, ia mencadangkan industri perkhidmatan wujud dalam ekonomi yang berlainan
dan sukar difahami. Seterusnya, teori ini juga menyentuh pengembangan pekerjaan
yang berkait dengan pengetahuan contohnya pengurusan, profesional dan pekerjaan
teknikal.
Ini seterusnya
membawa kepada perbincangan bahawa, sejajar dengan pengembangan pekerjaan
tersebut, pekerjaan berkemahiran rendah juga akan wujud. Dalam lain perkataan, masyarakat
maklumat(information society) yang maju boleh mempunyai ciri-ciri pengasingan
struktur sosial yang semakin meningkat. (Castells, 1996).
Teori Sosial
Reruang dan Teori Pergerakan Ruang(Social Theory Of Space and Theory Of Space
Flow)
Ruang merupakan
luahan masyarakat. Memandangkan masyarakat sedang mengalami perubahan struktur,
bentuk dan proses reruang baru akan muncul. Ruang bukanlah cerminan masyarakat
tetapi luahan masyarakat. Justeru itu, ruang tersebut merupakan masyarakat.
Menurut teori sosial, ruang adalah bahan sokongan tindakan sosial yang
berdimensikan masa, membawa simbol tertentu.
Masyarakat
terbentuk melalui aliran modal, aliran maklumat, aliran teknologi, aliran
interaksi organisasi, aliran imej, suara dan simbol. Aliran tersebut bukan
hanyalah salah satu elemen organisasi sosial, ia adalah luahan proses dominasi
ekonomi, politik dan simbolik hidup kita. Justeru itu, wujudlah satu bentuk
reruang baru yang membawa ciri-ciri tindakan sosial, yang akan menentukan
masyarakat rangkaian maklumat. Reruang yang dimaksudkan adalah ruang
aliran(Castells, 1996).
Pengaruh
Teknologi Maklumat
Pengangkutan
Pengangkutan
Jalan
Bayangkan anda
sedang duduk di dalam kenderaan yang berhalaju 120 batu sejam di atas lebuhraya
yang padat. Anda menghadapi masalah jerebu namun pengendali kenderaan di lorong
sebelah telah tertidur sedangkan anda sedang menonton televisyen. Pelik?
Terkejut? Sebenarnya anda agak selamat, anda sedang memandu kenderaan bistari
dalam Lebuh-Raya Bersistem Automasi(LBA) masa depan yang berupaya
mengurangkan 1.2 juta pelanggaran setiap tahun, menyelamatkan beribu-ribu
nyawa, serta menjimatkan berjuta-juta ringgit akibat kemalangan.
Namun isu
timbul merujuk kepada penerimaan masyarakat terhadap sistem sebegini. Sediakah
mereka melepaskan pemanduan kenderaan secara bebas dan serahkan tugas tersebut
kepada komputer. Seperti yang diketahui umum, komputer kadangkala gagal,
kegagalannya dalam sistem ini akan mencetuskan kemalangan yang boleh dimasukkan
dalam rekod antarabangsa.
Walaubagaimanapun,
bukan senang untuk mewujudkan lebuh-raya bersistem automasi tersebut, Amerika
Syarikat telah memulakan penyelidikan dan pembangunan sejak 1991 dan ia masih
dalam proses. Untuk menyokong lebuh-raya tersebut, pelbagai teknologi
diperlukan untuk memandu kenderaan dan mengawal sistem lalulintas; Sistem
Pengangkutan Pintar, sesetengah teknologi ini telah dipasarkan dewasa ini.
Selain itu, Kenderaan
Pintar diperlukan untuk membantu pengendali dalam pengendalian kenderaan,
persekitaran dan memberi amaran terhadap masalah kesesakan. Salah satu elemen
kenderaan pintar adalah Anti Lock Braking System(ABS) yang
menghalang tayar kenderaan mengunci dirinya dalam keadaan perhentian panik.
Di samping itu,
salah satu elemen penting untuk mewujudkan LBA adalah Sistem Kedudukan
Global. Dengan wujudnya sistem ini, peta tidak lagi diperlukan, sistem ini
akan menentukan jalan yang paling pendek serta cepat dan memandu kenderaan anda
ke destinasi yang telah ditentukan anda. Dewasa ini, Sistem Pemanduan
Kenderaan telah mula dipasarkan di Amerika Syarikat.
Untuk
melengkapkan lagi LBA, Sistem Pengurusan Kesesakan diperlukan untuk
mengenalpasti kesesakan. Antara tahun 1985 dan 1994, bandar Lexington, Kentucky
telah menggunakan sistem lalulintas berkomputer untuk mengurangkan lalulintas
henti-jalan sebanyak 40% serta mengurangkan pelanggaran sebanyak 30%(Meyer,
1999).
Namun LBA
dikritik akan memburukkan lagi masalah kesesakan dalam jangka panjang. LBA direkabentuk
untuk mengurangkan kesesakan dengan cara mengerakkan kenderaan secara lebih
padat. Dengan itu, ia seakan-akan menambahkan lorong dalam lebuh-raya. Namun
penambahan ini hanya boleh menyelesaikan masalah kesesakan dalam jangka pendek.
Secara logiknya, apabila lorong menjadi banyak, ia akan menggalakkan lebih
banyak penggunaan kenderaan. Sekiranya LBA membawa kepada pengembagan keupayaan
menampung kenderaan yang tinggi maka kita akan kembali kepada masalah asal
kesesakan.
Pengangkutan
Udara
Sekiranya
lalulintas udara terus meningkat pada kadar dewasa ini, pada tahun 2010, ia
akan sampai kebarangkalian satu kemalangan utama setiap minggu. Dalam kes ini,
teknologi maklumat terutamanya komputer memainkan peranan yang penting untuk
memastikan keselamatan yang lebih, berkait dengan rekabentuk, juruterbang,
sistem pemanduan dan lalulintas udara(Meyer, 1999)
Pengangkutan
Laut
Dengan wujudnya
Emergency Position Indicating Radio Beacons(EPIRB), pelayar-pelayar
dengan mudah boleh menghantar isyarat kecemasan sekiranya timbul sebarang
masalah. Kedudukan pelayar tersebut akan ditentukan melalui Sistem Kedudukan
Global dan bantuan akan dihantar secepat mungkin. Namun masalah komputer
seperti Y2K boleh memberi pengaruh negatif terhadap sistem tersebut. Kecacatan ataupun
dilemma komputer tersebut boleh mencacatkan sistem kedudukan global dan
menyebabkan kapal-kapal menghadapi masalah penentuan lokasi(Star, 21-8-1999).
Pendidikan
Penggunaan
Komputer Dalam Pengajaran
Komputer boleh
direkabentuk supaya ia dapat membantu pelajar secara individu dan secara
berkumpulan. Ini dapat dijalankan dengan menggunakan Arahan Program,
pelajar akan diajar mengikut kadar dan tahap yang boleh diterima oleh mereka.
Ini adalah penting supaya pelajar tidak tercicir dan putus asa. Merujuk kepada
sistem pendidikan konvensional, kesemua pelajar terpaksa mengikuti sistem yang
berlangsung tanpa mengambil kira samada mereka dapat mengikuti pelajaran
tersebut. Justeru itu, arahan program dapat memberi peluang terutamanya kepada
golongan pelajar "lemah" untuk membaiki kelemahan dia.
Dalam arahan
program ini, pelajar akan mengikuti langkah-langkah tertentu dalam pembelajaran
dia, langkah tersebut akan diteruskan asalkan pelajar dapat memberi jawapan
yang sesuai dan boleh diterima. Namun sekiranya jawapan tersebut tidak
memuaskan, dia akan dipandu kepada langkah terdahulu dan ditunjukkan bahan
rujukan yang berkaitan bagi memperbaiki kelemahan tersebut. Pengajaran
sedemikian biasanya tidak dijalankan di dalam kelas yang terdiri daripada ramai
pelajar, tambahan pula pelajar Asia yang kurang bertanya akan memburukkan lagi
proses pembelajaran pelajar.
Selain itu, pendidikan
jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap.
Tren semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran dengan cara jarak jauh
tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali.
Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari
kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat.
Contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara
konvensional. Namun kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan
melahirkan golongan yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer.
Justeru itu,
sistem pendidikan perlu membekalkan kemahiran interaksi asas pada awal
persekolahan dan menggunakan teknologi maklumat pada masa yang sama. Dengan
itu, pelajar mempunyai kemahiran lebihan dan pilihan untuk menggunakan
teknologi maklumat atau cara konvensional sesuai dengan keadaan tertentu.
Reformasi
Sistem Persekolahan
Cara pengajaran
konvensional di Amerika Syarikat misalnya memberi kuliah didapati tidak
mendatangkan keputusan yang baik. Ini adalah kerana pelajar hanya duduk dan
mendengar kuliah tersebut tanpa penyertaan yang menggalakkan. Ini
merupakan senario yang kerap di dalam USM sendiri terutamanya dalam kuliah
sarjana muda. Walaupun terdapatnya usaha pensyarah untuk menggalakkan
penyertaan pelajar namun penyertaan yang diharapkan adalah amat kurang.
Namun dengan
wujudnya rangkaian maklumat yang membolehkan pelajar memberi pandangan dan
maklum balas secara rawak dan dengan cepat maka penyertaan tersebut akan
mempunyai kadar yang lebih tinggi. Alasan seperti tidak dapat berjumpa dengan
pensyarah akan dihapuskan sama sekali memandangkan faktor masa dalam rangkaian
maklumat tidak sama dengan masa sebenar. Menurut teori pergerakan ruang, ruang
aliran akan menentukan masyarakat rangkaian maklumat. Segala maklumat yang
disalurkan merupakan penyebab yang secara kumulatif menjanakan ruang tersebut.
Aktiviti menghantar dan menerima maklumat tersebut merupakan tindakan sosial
yang dibawa dalam ruang aliran. Asalkan seseorang peka terhadap rangkaian
tersebut, segala maklumat dan maklum balas akan dapat disampaikan mahupun
diterima.
Perubatan
Membantu
Golongan Yang Memerlukan Bantuan Khas
10 daripada 100
orang adalah cacat. Di Amerika Syarikat, 20 juta orang cacat mengalami halangan
dalam kehidupan harian mereka(Meyer, 1999). Bagi golongan ini, teknologi
maklumat terutamanya komputer memainkan peranan yang penting dalam memberi kebebasan
kepada mereka. Contohnya kewujudan program yang berupaya membaca teks dapat
membantu orang buta berkomunikasi tanpa bantuan keluarga, rakan-rakan dan
pekerja lain atau mesin rekod suara.
Selain itu,
komputer juga memberi peluang sosial baru kepada orang cacat melalui
penggunaan internet, irc serta icq dan lain-lain program. Mereka tidak perlu
pergi ke kawasan bandar untuk bertemu atau berkenalan. Mereka juga tidak perlu
melalui pengalaman pahit di dalam bandar yang tidak direka untuk mereka. Di
samping itu, terdapat rangkaian yang dikhaskan untuk mereka berkenalan dan
bergaul dengan golongan yang sama di mana sebelum ini tiada seluran yang begini
mudah. Mesyuarat boleh dijalankan bila-bila masa asalkan seseorang mempunyai
talian telefon, komputer serta modem.
Tele-Perubatan
Dalam keadaan
tertentu, pesakit sebenarnya tidak perlu berjumpa dengan doktor. Ini
adalah kerana dalam kebanyakan kes, doktor cuma memeriksa pesakit melalui
sintom yang diberitahu oleh pesakit sendiri. Justeru itu, suatu program yang
menyeluruh dan sentiasa diperbaiki adalah memadai untuk menggantikan tugas
sedemikian. Britain telah menggunakan sistem sedemikian untuk mengurangkan
beban doktor(Laver, 1989). Doktor seharusnya menumpukan perhatian dalam kes
yang serius yang mana pesakit tidak dapat memeriksa sebarang sintom.
Namun kesahihan
sistem sedemikian akan sentiasa dipertikaikan akibat faktor-faktor keselamatan,
kepercayaan, psikologi dan sebagainya. Selain itu, kos pelaksanaan sistem
sedemikian juga amat tinggi kerana ia perlu sentiasa dinaik taraf dan dinilai
bagi memberikan tahap ketepatan dan kepercayaan yang tinggi. Di samping itu,
pelaksanaan sistem sedemikian akan menggugat kesenangan golongan buta huruf
untuk mendapatkan rawatan biasa memandangkan sistem tersebut cenderung
mengurangkan atau menggantikan peranan klinik. Justeru itu, timbul pendapat
bahawa ia hanya sesuai untuk tujuan farmasi sahaja di mana pesakit telah
diberikan diskripsi ubat; dan menggunakan tele-perubatan cuma untuk mendapatkan
ubat tersebut.
Walau
bagaimanapun, penggunaan Smart Card akan melengkapkan lagi sistem
tersebut memandangkan kesemua maklumat peribadi pesakit termasuk sejarah
perubatan telah dikodkan. Namun kita tidak harus melihat bidang perubatan
ditukarkan kepada sejenis industri. Perubatan sebagai perindustrian akan
mencetuskan kesan mental yang buruk terhadap pesakit. Pesakit sebenarnya telah
dibebankan dengan persekitaran hospital yang dipenuhi dengan pesakit-pesakit
lain. Justeru itu, penggunaan teknologi yang keterlaluan akan menyebabkan
hubungan doktor-pesakit hilang, ini akan menjanakan keadaan yang tidak
menggalakkan dalam kes kesihatan yang serius.
Seni dan
Hiburan
Digital
Dewasa ini,
semakin banyak bahan-bahan ditukarkan kepada bit-bit dalam komputer.
Penukaran ini akan mencetuskan perubahan yang besar dalam penggunaan ruang di
bandar. Misalnya penduduk bandar tidak perlu berada di sesuatu lokasi tetapi
dapat merasai situasi tersebut melalui internet. Kes yang sama berlaku terhadap
perpustakaan, apabila lebih banyak teks ditukarkan dalam bentuk bit. Pelajar
atau penduduk tidak perlu sampai ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan
rujukan tersebut.
Penduduk bandar
juga tidak semestinya pergi ke panggung wayang atau muzium untuk melihat filem
atau khazanah negara. Kesemua ini memberi impak terhadap perancangan guna tanah
kawasan bandar. Kesan langsung daripadanya adalah pengurangan dalam isipadu
lalulintas yang disebabkan oleh aktiviti tersebut. Ini akan mengagihkan tanah
bagi tujuan yang lain misalnya kawasan hijau atau taman-taman yang tidak dapat
digantikan oleh teknologi maklumat.
Namun harus
diingati bahawa dengan menukarkan bahan-bahan kepada bit-bit. Masalah cetak
rompak akan lagi berleluasa. Bahan-bahan yang didigitkan kemungkinan besar akan
menjadi tidak berharga. Ini adalah kerana ia boleh disalin dan dikeluarkan
semula berkali-kali, berbeza dengan bahan-bahan sebenar yang akan berkurangan
kuantitinya apabila digunakan.
Dunia Maya
Ia adalah satu
sistem yang mensimulasikan alam nyata(reality). Alam nyata ditayangkan
dalam bentuk imej, dalam dunia yang kelihatan seperti dunia nyata. Pengalaman
dalam dunia maya bukan hanya menerusi skrin imej tetapi ia sendiri menjadi
pengalaman kepada mereka yang berada di dalamnya(Castells, 1999). Kewujudan
dunia maya akan membawa perubahan tertentu dalam cara hidup di bandar.
Memandangkan ia begitu benar dan kadangkala dapat memuatkan ciri-ciri idealisme
yang tidak terdapat dalam dunit nyata. ia merupakan satu ruang yang membolehkan
penduduk membuat pilihan samada hendak memilih dunia maya atau dunia nyata
untuk menjalankan aktiviti tertentu.
Contohnya
seseorang yang ingin keluar bersiar-siar di bandar boleh memilih bandar nyata
atau bandar maya. Bagi mereka yang ingin melihat bandar sebagai utopia maka
dunia maya mampu memberi satu bandar sedemikian. Namun penggunaan dunia maya
bukan hanya terhad kepada hiburan sahaja. Ia menjadi medan ujian bagi percubaan
pengalaman yang seakan-akan benar. Misalnya ujian memandu kenderaan boleh
dijalankan di dalam sebuah bilik tanpa menggunakan jalanraya sebenar. Dari segi
perancangan pula, model-model boleh dihasilkan untuk menguji kesan perancangan
terhadap sesebuah bandar. Seseorang boleh mencuba pengalaman di dalam bandar
tersebut sebelum pelan susun atur diluluskan. Ini akan menambahkan lagi
penilaian pelan tersebut.
Rekreasi
Dengan wujudnya
teknologi maklumat yang membolehkan pemindahan maklumat dengan cepat dan tepat,
kebanyakan pekerjaan boleh dijalankan di rumah. Ini bermakna waktu kerja yang
lebih bebas serta pendek. Ini adalah kerana seseorang tidak perlu meluangkan
masa untuk pergi ke pejabat, tersesak atas jalanraya, makan di luar dan
sebagainya. Kesannya masa rekreasi penduduk akan bertambah dan ini akan
mempengaruhi penawaran jenis perkhidmatan pada masa depan.
Perdagangan dan
Perindustrian
Perdagangan
Elektronik
Perdagangan
elektronik ditakrifkan sebagai penggunaan telekomunikasi atau rangkaian yang
luas untuk melaksanakan pemindahan kewangan. Menjelang tahun 2001, gedung
membeli-belah berangkai(online shopping) dijangka akan menarik antara $3.5
hingga $6 juta di Amerika Syarikat(Meyer, 1999). Di Malaysia, gedung-gedung
seperti Parkson, Sapura, 3Comm dan Biz.st telah menawarkan khidmat beli-belah
berangkai. Rasionalnya adalah kadar penggunaan internet yang tinggi akan
menggalakkan penawaran sedemikian. Pada tahun 1994, terdapat lebih kurang
500,000 pengguna yang berdaftar dengan Jaring dan TmNet(Star, 31-7-1999).
Dengan
berkembangnya perkhidmatan sedemikian pada masa depan, pengguna tidak perlu
melangkah keluar dari rumah untuk membeli-belah. Di samping itu, mereka boleh membeli-belah
24 jam sehari tanpa gangguan kesesakan, cuaca dan jurujual yang
membosankan. Selain itu, lokasi juga tidak menjadi masalah kerana perkhidmatan
yang dibekalkan akan menjamin pembelian tersebut dijalankan dengan senang.
Halangan yang wujud cumalah kos penghantaran yang mahal bagi lokasi yang jauh.
Selain daripada
aktiviti membeli-belah, rangkaian teknologi maklumat juga membolehkan aktiviti
perbankan dan pasaran dijalankan. Ini akan memberi pengaruh yang besar ke atas
guna tanah kawasan perdagangan pusat. Dewasa ini, aktiviti tersebut sentiasa
berkait dengan kesesakan di lokasi perletakan bank atau bursa saham. Namun
dengan adanya rangkaian maklumat yang membolehkan aktiviti tersebut dijalankan
dengan selamat maka penduduk bandar dengan sukarela akan memilih rangkaian
tersebut berbanding dengan cara konvensional yang tidak berkesan serta
membazirkan masa dan tenaga.
Di samping itu,
surat elektronik yang semakin tinggi kadar penggunaannya akan memberi pengaruh
terhadap perkhidmatan pos serta sistem pengangkutan yang bersabit dengannya. Ia
juga mengurangkan penggunaan kertas dan sampul surat. Ini merupakan satu
langkah baik ke arah kemampanan hutan di dunia.
Isu-isu
Kolonialisme
Elektronik
Kolonialisme
elektronik merupakan pergantungan hubungan yang dibentukkan melalui
import peralatan komunikasi, perisian asing, bersama-sama dengan jurutera,
juruteknik dan protokol yang berkenaan. Kesemua ini secara tidak langsung
membentuk satu siri norma asing, nilai dan jangkaan, dalam tahap yang
berlainan, yang akan mengubah budaya serta proses sosialisasi tempatan.
Kehilangan, penyesaran, anjakan dan pelupaan nilai-nilai tempatan menjadi
sesuatu yang membimbangkan di negara dunia ketiga. Kolonialisme elektronik pada
abad ke-20 dilihat sama dengan kolonialisme perdagangan pada abad ke-18 dan
ke-19.
Kolonialisme
perdagangan mengambil kesempatan ke atas buruh yang murah; ia melibatkan tenaga
buruh secara fizikal untuk mengeksplotasikan sumber tempatan. Namun kolonialisme
elektronik mengambil kesempatan ke atas minda manusia; tujuannya adalah
untuk mempengaruhi perangai, tingkah laku, keinginan, kepercayaan, cara hidup,
pandangan pengguna atau corak pembelian pengguna(McPhail, 1987).
Justeru itu,
pengaruhnya amat kuat dan berupaya meninggalkan kesan yang mendalam untuk
jangka masa yang panjang. Ini merupakan suatu ancaman sekiranya masyarakat
kurang peka terhadap pergantungan tersebut malah mengagung-agungkan perkara
yang tidak harus diagungkan.
Negara sedang
membangun yang ingin bersaing pada masa depan perlu menceburi bidang teknologi
maklumat. Dalam hal ini, Malaysia tidak dikecualikan. Malaysia ingin menjadi
sebahagian daripada arena antarabangsa dan memainkan peranan yang lebih penting
dalam mempengaruhi keputusan antarabangsa. Ini memaksa Malaysia mengambil
bahagian dalam hubungan antarabangsa. Pada masa yang sama, Malaysia cuba
menghindarkan kuasa antarabangsa di samping menjadi sebahagian daripada dunia,
yang melibatkan interaksi yang amat dengan negara Barat. Negara Barat cenderung
menyebarkan nilai budaya, politik dan kewangannya.
Inilah dilemma
yang dihadapi Malaysia dalam pembangunan masa depan dan pemimpin negara sedar
bahawa ini merupakan satu ancaman. Justeru itu, banyak pembangunan yang
dijalankan dewasa ini lebih bercorakkan acuan pembangunan tempatan. Cabaran
utama kerajaan dalam era teknologi maklumat adalah cara mengawal dan mengurus
rangkaian teknologi maklumat supaya memanfaatkan penduduk serta negara dan
bukan sebaliknya.
Cadangan
Cara
pentadbiran yang lebih telus diperlukan bagi mendapatkan pandangan masyarakat
melalui debat terbuka yang bebas. Dalam era teknologi maklumat, membuat
keputusan dengan cepat merupakan salah satu faktor penting yang menjamin
kejayaan sesebuah negara. Melalui saluran maklumat yang terbuka dan cepat,
rakyat mampu menilai sebarang isu secara bersama dan ini adalah penting untuk
menjanakan kuasa rakyat dalam menghadapi serta mengelakkan kolonialisme
elektronik.
Pengetahuan dan
Tanpa Pengetahuan
Terdapat
ramalan yang mengatakan bahawa perkembangan teknologi maklumat akan membolehkan
maklumat dan kemudahan komputer yang bernilai diwujudkan secara global. Ini
dikatakan akan memanfaatkan kepentingan masyarakat kerana ia akan meningkatkan
keupayaan penduduk dalam memahami, pengaruhi dan mencabar tindakan & dasar
kerajaan serta koperasi besar yang mempunyai pengaruh ke atas kehidupan
mereka(Laver, 1989).
Tidak dapat
dinafikan bahawa rangkaian teknologi maklumat akan mengukuhkan hubungan yang
mengikat individu kepada masyarakat. Namun ia juga boleh dilihat sebagai
pemisah di antara golongan celik maklumat serta golongan tidak celik maklumat.
Jurang tersebut boleh digiatkan dengan suntikan teknologi maklumat secara
mendadak. Malangnya, mereka yang tidak celik maklumat biasanya adalah golongan
miskin dan kurang pendidikan, merekalah yang sebenarnya memerlukan faedah yang
boleh dibawa oleh maklumat.
Cadangan
Program-program
perlu dijalankan untuk membantu golongan tidak celik maklumat supaya mereka
diberi peluang yang sama untuk mengikut perkembangan semasa. Walaupun ini akan
membebankan pembayar cukai namun dalam jangka panjang ia akan menjanakan faedah
untuk seluruh negara.
Kesan Teknologi
Maklumat Terhadap Pekerjaan : Kepada Masyarakat Tanpa Kerja?
Penggunaan
teknologi maklumat dalam kilang, pejabat dan sektor perkhidmatan telah
mencetuskan kebimbangan pekerja bahawa mereka akan digantikan oleh peralatan.
Namun berdasarkan pencapaian negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun,
kebimbangan tersebut nampaknya tidak berasas. Merujuk kepada "1994
White Paper of the European Commision on Growth, Competitiveness, and Empoyment
" antara 1970 dan 1992, ekonomi Amerika Syarikat bertumbuh 70%
sementara pekerjaan bertumbuh 49%. Ekonomi Jepun bertumbuh sebanyak 173%,
dengan pertumbuhan pekerjaan 25%. Di samping itu, antara 1993 dan 1996, apabila
kebanyakan negara Eropah mempunyai kadar pengangguran yang tinggi, Amerika
Syarikat yang menggunakan teknologi maklumat dalam pejabat dan kilang, telah
menghasilkan lebih lapan juta pekerjaan baru(Castells, 1996).
Ahli teori
perdagangan(Trade theorists) berhujah bahawa potensi pengurangan pekerjaan
sebagai kesan penggunaan teknologi maklumat akan wujud sekiranya ;
![]() |
Pengembangan dalam permintaan
tidak diseimbangi peningkatan dalam produktiviti buruh; dan
|
![]() |
Tiada tindakbalas institusi untuk
mengurangkan masa pekerjaan dan bukannya pekerjaan sendiri.
|
Menurut
Castells, tiada struktur hubungan yang sistematik di antara penggunaan
teknologi maklumat dengan evolusi pekerjaan dalam ekonomi secara
keseluruhannya. Sesetengah pekerjaan semakin tidak penting tetapi terdapatnya
pekerjaan baru yang kian meningkat. Namun kuantiti hubungan di antara kerugian
dan keuntungan tersebut berbeza di antara firma, industri, sektor, wilayah dan
negara. Ia bergantung kepada keupayaan saing, strategi firma, dasar kerajaan,
persekitaran institusi dan kedudukan relatif dalam ekonomi global.
Menurut Organization
for Economic Cooperation and Development(OECD), pada awal abad ke-21,
dijangkakan akan terdapat peningkatan pekerjaan bagi negara-negara tersebut :
Amerika Syarikat, 1992-2005, akan mengalami peningkatan pekerjaan bersih 24
juta(peningkatan 19% sepanjang tempoh), Jepun, 4 juta(peningkatan 6%); dan
Kesatuan Eropah lebih kurang 10 juta(peningkatan 6-7%). Namun unjuran ini
adalah amat sensitif kepada kepelbagaian dalam andaian yang digunakan. Pertama
sekali, evolusi tahap pekerjaan tidak diberi. Ia amat bergantung kepada tahap
penggunaan teknologi tersebut oleh masyarakat, atas dasar penghijrahan, evolusi
keluarga, pengagihan tempoh pekerjaan dalam hidup dan sistem baru dalam
perhubungan industri.
Justeru itu, teknologi
maklumat tidak akan menyebabkan pengangguran walapun ia secara nyatanya
mengurangkan tempoh kerja per unit pengeluaran. Namun begitu, tidak dapat
dinafikan bahawa ia akan membawa kepada pengasingan jenis pekerjaan yang lebih
nyata terutamanya pekerjaan yang bersabit dengan maklumat dan pekerjaan yang
tidak.
Cadangan
Sekiranya wujud
tren pengangguran yang disebabkan oleh peningkatan teknologi maklumat maka
campurtangan kerajaan adalah perlu untuk mengenakan dasar serta garispanduan
bagi mewujudkan peluang pekerjaan di dalam sektor yang akan menguntungkan
keseluruhan sistem ekonomi negara misalnya sektor sokongan perkhidmatan.
Keperluan Untuk
Celik Maklumat
Dalam era
maklumat, celik maklumat adalah amat penting untuk membolehkan seseorang
bersaing dalam dunia perdagangan dan pasaran pekerjaan. Kecelikan maklumat amat
penting tidak kira seseorang itu bekerja di rumah atau di pejabat. Orang dengan
kemahiran internet mendapat maklumat yang lebih, mengetahui lebih banyak isu
semasa, dan dapat mencari maklumat dengan lebih cepat berbanding dengan orang
berpendidikan tinggi yang kurang kemahiran tersebut. Namun kecelikan
maklumat juga memerlukan pemikiran kritikal. Tanpanya seseorang
tidak dapat menilai kualiti maklumat yang diperolehi daripada rangkaian
maklumat.
Selain itu,
untuk hidup dalam zaman teknologi maklumat, jika seseorang tidak ingin dilihat
sebagai seorang yang ketinggalan zaman maka seseorang perlu celik maklumat dan
mempunyai kemahiran asas sekurang-kurangnya untuk mengikuti perkembangan
semasa. Bayangkanlah betapa tidak sesuai sekiranya seseorang cuba bersaing
dalam dunia perdagangan pada tahun 2020 dengan menggunakan komputer Pentium
3(diubah daripada Robins, 1987).
Cadangan
Media-media
tempatan harus memberi tumpuan kepada penjanaan pemikiran penduduk. Program
yang disalurkan sebaik-baiknya jenis yang menggalakkan penilaian serta
pemikiran masyarakat. Masyarakat maklumat adalah masyarakat yang boleh
berfikir; bukan semata-mata pengguna sahaja. Begitu juga halnya dengan
institusi pengajian tinggi tempatan harus memberi perhatian yang lebih dalam
melahirkan graduan yang boleh berfikir daripada melahirkan juruteknik yang
menjadi hamba kepada kolonialisme elektronik.
Cetak Rompak
Dengan
kebebasan aliran maklumat dalam rangkaian maklumat, aktiviti cetak rompak atau
salin tanpa kebenaran akan berleluasa. Contohnya yang nyata adalah
pelajar universiti atau kolej yang mempunyai akses kepada internet.
Bayangkan satu
senario yang melibatkan seorang pelajar yang terpaksa menghantar tugasan pada
keesokan harinya. Pada pukul 4.00 pagi, pelajar tersebut mendapati dia tidak
sempat menghabiskan tugasan tersebut. Namun begitu, secara kebetulan pelajar
tersebut terjumpa satu esei yang sesuai dengan tema tugasannya melalui
internet, tiada cetakan hakcipta dalam esei tersebut. Nampaknya pengarang
sengaja menggalakkan percetakan. Ini akan mendorong pelajar tersebut menyimpan
esei tersebut dan kemudian membuat pengubahsuaian tertentu untuk mengubah
wajahnya, kemudian dia menghantar tugasan tersebut dan menganggap itu adalah
hasilnya(Meyer, 1999).
Cadangan
Perundangan
maklumat dan sistem pengawalan yang canggih perlu digunakan untuk mengatasi
masalah cetak rompak. Contohnya virus dimasukkan bersama fail yang mempunyai
hakcipta, apabila pengguna menghasilkan semula fail tersebut tanpa kod hakcipta
maka virus tersebut akan berfungsi dan memusnahkan fail tersebut.
Penggunaan
Surat Elektronik
Walaupun
pengguna surat elektronik mempunyai kebebasan teks dalam surat tersebut,
sebenarnya pembekal perkhidmatan Internet mempunyai akses ke atas setiap surat
tersebut. Mereka akan menyimpan salinan surat tersebut sekurang-kurangnya enam
bulan, walaupun surat tersebut dibuang daripada fail atau komputer(Meyer,
1999). Ini mengurangkan 'privacy' berbanding dengan cara konvensional.
Justeru itu, segala maklumat sulit seperti kata rahsia atau kod yang penting
tidak sesuai dimasukkan ke dalam surat elektronik.
Di samping itu,
penggunaan pelbagai surat elektronik dewasa ini tidak mengenakan sebarang
bayaran. Contohnya yahoo mail, mail excite, American express, mail city,
alta vista mail, hotmail dan sebagainya telah menarik pengguna yang ramai.
Namun begitu, pergantungan kepada surat elektronik akan mengurangkan
kepentingan persuratan konvensional kecuali melibatkan persuratan rasmi atau
penghantaran barang-barang.
Apabila pihak
yang menguruskan surat elektronik mengenakan bayaran pada suatu hari
nanti(apabila pergantungan kepadanya tinggi) maka wujudlah isu di kalangan
penggunanya. Namun surat elektronik menjamin penghantaran yang jauh lebih cepat
dan jimat kos serta tenaga. Kelemahannya adalah kadar 'privacy' yang tidak
begitu tinggi namun seseorang boleh berhujah bahawa persuratan konvesional
mengalami risiko kehilangan surat serta pecah amanah yang sama tinggi. Justeru
itu, masyarakatlah yang perlu menilai cara mana yang lebih menyenangkan.
Cadangan
Perlu adanya
kontrak sosial berhubung dengan isu 'privacy' yang telah ditimbulkan tadi.
Masyarakat harus menentukan sendiri saluran mana yang boleh atau tidak boleh
diperiksa kandungannya. Namun kesan daripada setiap tindakan juga perlu dinilai
contohnya pengiriman bahan-bahan yang memudaratkan masyarakat mesti dihalang.
Sekiranya tiada pemeriksaan pada tahap-tahap tertentu, kebebasan itu boleh
membawa kesan yang buruk.
Internet :
Tempat Penjanaan Kebencian dan Jenayah?
Dengan wujudnya
rangkaian World Wide Web, individu dan organisasi boleh memaparkan
sebarang maklumat dengan senang. Namun sekiranya ini digunakan untuk tujuan
yang tidak baik maka ia akan membawa pengaruh yang negatif terhadap kehidupan
bandar. Contohnya, pengeboman di bandar Oklahoma dipercayai hasil sebaran
maklumat melalui internet(Meyer, 1999).
Merujuk kepada
konteks Malaysia, terdapat banyak maklumat berasaskan kebencian berterbangan
dalam rangkaian Internet. Kesemuanya ditujukan kepada sesetengah pemimpin
negara. Gejala sedemikian berupaya menjanakan kebencian dan kekeliruan di
kalangan pengguna internet yang mempercayai terus maklumat yan diperolehi. Ini
boleh mencetuskan kekacauan di dalam bandar dan mengancam keselamatan serta
ketenteraman bandar. Rusuhan-rusuhan telah berlaku beberapa bulan lalu di
sekitar Kuala Lumpur dan ini berpotensi dicetuskan selagi masyarakat tidak
mempunyai pemikiran kritikal untuk menilai kesahihan maklumat tersebut.
Selain itu,
Internet juga membawa maklumat-maklumat lucah yang boleh menjanakan masalah
sosial terutamanya jenayah. Rangkaian internet boleh juga menjadi saluran tidak
sihat untuk melakukan jenayah. Merujuk kepada pengalaman Singapura, tahun ini,
lima gadis dan seorang wanita telah dirogol oleh "kawan" yang mereka
kenali melalui internet atau telefon(Star, 1999). Singapura merupakan satu
negara pengguna Internet yang tinggi disebabkan dasar kerajaannya untuk
menggalakkan kecelikan komputer bagi menghadapi kemajuan abad ke-21.
Justeru itu,
dalam ucapan Perdana Menterinya pada 3-7-1998 di dalam Mesyuarat Menteri APEC
yang Ketiga untuk telekomunikasi dan industri maklumat, beliau telah
menyarankan ancaman pengaruh Barat melalui teknologi maklumat(Arun, 1999).
Cadangan
Pihak kerajaan
perlu peka terhadap isi kandungan internet supaya dapat mengambil tindakan
segera bagi memaklumkan kesahihan maklumat tersebut kepada rakyat. Namun ini
tidak bermakna makluman kerajaan merupakan kata putus. Rakyat harus diberi
peluang untuk memberi maklum balas berkenaan isu tersebut melalui saluran yang
telah dikhaskan untuk tujuan tersebut oleh kerajaan.
Keselamatan
Dengan
pergantungan kepada teknologi maklumat, adalah sukar untuk suatu masyarakat
berpatah balik. Ini adalah kerana teknologi maklumat akan menyebabkan perubahan
yang besar ke atas aspek sosial, ekonomi, fizikal dan juga politik(diubah
daripada Star, 1-7-1999). Namun masalah boleh timbul daripada teknologi
maklumat sendiri. Kegagalan sistem boleh berlaku melalui kerosakan fizikal
peralatan, ralat data atau 'bugs' perisian misalnya Y2K. Kegagalan tersebut
boleh membawa kerugian yang besar kepada masyarakat terutamanya apabila
pemindahan modal yang besar sedang berlangsung.
Justeru itu,
negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun mempunyai stesen
janakuasa yang pelbagai sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan ancaman
tersebut(Laver, 1989). Namun begitu, keadaan di Malaysia adalah jauh berbeza,
kita terlalu bergantung kepada beberapa stesen janakuasa utama tanpa memikirkan
kepentingan kepelbagaiannya. Dengan itu, kerugian yang besar dijangkakan akan
berlaku sekiranya timbul sebarang masalah ke atas stesen janakuasa yang akan
menjejaskan pembekalan elektrik yang diperlukan untuk perjalanan teknologi
maklumat.
Usaha negara
dalam memperkenalkan tenaga alternatif juga kurang nyata. Dengan itu, ia
menambahkan lagi risiko kerugian apabila Koridor Raya Multimedia(KRM)
dilancarkan.
Cadangan
Pelaksanaan KRM
perlu diimbangi dengan pembinaan infrastruktur sokongan yang lebih mampan serta
berkesan mengambil kira semua keadaan yang boleh diramalkan. Peluang-peluang
pemindahan teknologi perlu diambil oleh kerajaan sekiranya ia tidak melibatkan
sebarang pergantungan yang boleh menggugat kebebasan negara.
Kesimpulan
Sejajar dengan
perkembangan teknologi maklumat, asas teoritikal tentangnya harus
diperkembangkan. Bidang-bidang "teknologi maklumat" dan "sains
komputer" dalam universiti dan politeknik nampaknya lebih kepada kaedah
teknikal di sebalik proses intelektual(Laver, 1989). Kita masih agak kabur
tentang konsep "maklumat". Kekurangan asas teoritikal yang kukuh akan
menyukarkan lagi penjelasan fenomena berhubung dengan teknologi maklumat.
Tiga kuasa
telah mempengaruhi pembangunan teknologi maklumat. Pertama sekali, keghairahan
pakar yang menciptanya, diikuti harapan untuk faedah masa depan dan akhirnya
kebimbangan terhadap peperangan. Tiada satu pun daripada ini nampaknya
menyokong kajian ke atas kesan sosial yang dibawa oleh teknologi maklumat.
Daripada perbincangan di atas, jelaslah bahawa teknologi maklumat boleh
digunakan untuk tujuan baik atau jahat. Kuasanya adalah amat kuat dan kuasa ini
boleh digunakan dengan cara yang tidak sesuai untuk kepentingan peribadi yang
boleh menjejaskan kepentingan pihak lain.
Justeru itu,
dalam keasyikan Malaysia melancarkan era teknologi maklumat, rakyatnya harus
diberi pendedahan tentang kesan baik dan buruk yang akan dibawa oleh teknologi
maklumat. Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia memerlukan teknologi ini untuk
bersaing dan berganjak kepada corak ekonomi baru namun masyarakat haruslah
bersedia terutamanya secara mental untuk menerima kos dan faedah yang akan
dijanakan.
From: http://www.hbp.usm.my/methods/RPK534/Information%20Technology.html
Rujukan :
1. Arun Arun, Smart
Cities : The Singapore Case, Cities, Vol. 16, No. 1, pp. 13-18, 1999,
Pergamon.
2. Castells,
Manuel, The Informational City : Information Technology, Economic
Restructuring, and the Urban-Regional Process. Basil Blackwell, 1989.
3. Castells,
Manuel, The Rise of the Network Society. Blackwell Publishers Ltd.,
1996.
4. Erwitt,
Smolan, One Digital Day : How the Microchip is Changing Our World. Times
Books, New York, 1998.
5. IT age a
time of radical change as well as challenge. Star, Thursday, 1-7-1999.
6. Laver,
Murray, Information Technology : Agent of Change. Cambridge University
Press, Cambridge, 1989.
7. McPhail,
Thomas L, Electronic Colonialism : The Future of International Broadcasting
and Communication. Sage Publications, 1987.
8. Meyer,
Marilyn Wertheimer, Computers In Your Future. Macmillan Computer
Publishing, 1999.
9. Robins,
Kevin & Frank Webster, Dangers of Information Technology and
Responsibilities of Education. in R. Finnegan, G. Salaman & K.
Thompson(ed.), Information Technology : Social Issues. Sevenoaks : Hodder &
Stoughton, 1987.
10. What's
in store for on-line shopping. Star, Saturday, 31-7-1999.
No comments:
Post a Comment